Monday, April 11, 2005

Penduduk Palestin kawal al-Aqsa

Penduduk Palestin kawal al-Aqsa


BAITULMAQDIS: Beratus-ratus penduduk Palestin berkawal di masjid al-Aqsa bagi menghadapi sebarang kemungkinan cubaan pelampau Yahudi untuk mencemar dan merobohkan masjid ketiga paling suci dalam Islam itu.



Pemimpin kanan Hamas, Hassan Yousef, yang berjaya menyusup masuk ke dalam masjid berkenaan meskipun tentera Israel melarang mereka yang berusia bawah 40 tahun memasuki kawasan itu, berkata al-Aqsa kini dalam bahaya berikutan usaha berterusan merobohkan masjid itu.

Beribu-ribu polis antirusuhan turut menutup Bandar Lama Baitulmaqdis semalam bagi memastikan pelampau Israel tidak memasuki kompleks al-Aqsa serta mencegah mereka mencetuskan rusuhan penduduk Islam Palestin.

Bagaimanapun, sejam selepas waktu yang ditetapkan untuk perarakan membantah pengunduran Yahudi dari Gaza itu hanya beberapa puluh pelampau Yahudi muncul di pintu gerbang Bandar Lama, berbanding kenyataan awal kumpulan Yahudi yang menyatakan perarakan itu mungkin membabitkan lebih 10,000 Yahudi.

Bagaimanapun, menteri polis Israel mengesahkan, usaha pelampau Yahudi itu berjaya mencapai matlamat mereka kerana memaksa seluruh kekuatan tentera Israel dikerah ke kawasan Baitulmaqdis.

Ketegangan di kota suci itu berlaku sehari selepas tentera Israel menembak mati tiga remaja Palestin di Gaza dan mencetuskan kebimbangan gencatan senjata goyah sejak dua bulan lalu akan berkubur.

Pergeseran itu mencemari lawatan Perdana Menteri Israel, Ariel Sharon ke Amerika Syarikat untuk berunding dengan sekutu dan pembiaya utama Israel, Presiden George W Bush berhubung pelan pengunduran dari Gaza dan mendapatkan restu pembinaan lebih banyak rumah Yahudi di Tebing Barat serta Baitulmaqdis Timur.

Pejuang Palestin melepaskan lebih 12 bom mortar sebagai reaksi terhadap pembunuhan remaja itu tetapi semua kumpulan pejuang utama Palestin menegaskan, mereka tetap akan mematuhi gencatan senjata.

Bagaimanapun, kumpulan pejuang itu menegaskan, gencatan senjata itu akan berakhir jika pelampau Yahudi dibenar memasuki kompleks al-Aqsa.

Beberapa belas pelampau Yahudi ditahan semalam ketika mereka menghampiri tembok di Bandar Lama. Lebih 3,000 polis, kebanyakannya dilengkapi peralatan antirusuhan, mengawal kompleks itu yang sebelum ini menjadi punca meletusnya beberapa keganasan.

Menteri Kepolisian Israel, Gideon Ezra berkata, kumpulan pelampau Yahudi Revava, yang sebelum ini mengancam mengerahkan beribu-ribu Yahudi, berjaya memastikan pasukan keselamatan sibuk.

Penganjur perarakan pelampau Yahudi itu semalam berkata, pelan perarakan itu sebenarnya menjadi ujian terhadap pengunduran ketika musim panas di Gaza apabila beribu polis dan tentera terpaksa dikerahkan untuk mengosongkan 21 penempatan Yahudi di Semenanjung Gaza dan empat lagi di Tebing Barat.

Kumpulan pelampau berkata, mereka berharap dapat memastikan polis hilang tumpuan dengan terpaksa mengadakan kawalan di Baitulmaqdis, menyebabkan pelan pengunduran itu gagal.

Israel meningkatkan kawalan keselamatan ke atas kompleks al-Aqsa berikutan ancaman cubaan menyerang kompleks itu. Antara senario yang mungkin berlaku adalah serangan menggunakan roket ke atas masjid itu serta Kubah Batu, yang dijadikan simbol kompleks al-Aqsa.

Bekas ketua perkhidmatan keselamatan Shin Bet, Carmi Gilon, berlaku jika pelampau Yahudi melancarkan serangan sedemikian, Israel terhumban ke kancah peperangan dengan seluruh dunia Islam. – Agensi

No comments: