Oleh Wan Hamzah Awang
PERKARA pertama yang dilakukan Rasulullah s.a.w. ketika tiba dan menetap di Madinah ialah mendirikan masjid. Keutamaan baginda ketika itu ialah untuk menegakkan masyarakat Islam bersatu padu antara kaum ansar dan muhajirin. Dan masjid merupakan asas utama dan terpenting dalam pembentukan masyarakat Islam.
Ia tidak akan terbentuk dengan kukuh dan sempurna kecuali dengan adanya iltizam yang padu terhadap sistem, kekuatan akidah dan persefahaman sejati.
Di dalam negara Islam masa kini, pembinaan masjid sememangnya diutamakan dan diberikan perhatian. Masjid yang besar dan berharga berjuta-juta ringgit tidak akan memberi impak yang besar juga kalau tidak dimakmurkan.
Agak sedih apabila kita melihat pada masa ini, masjid yang luas ruang solatnya hanya dihadiri beberapa `kerat' manusia untuk bersolat, beriktikaf dan berzikir. Ia hanya penuh pada hari jumaat tetapi tidak pada hari-hari lain.
Di antara sistem dan prinsip Islam ialah menyebarkan ikatan ukhuwah sesama Islam. Prinsip ini boleh terlaksana sekiranya masjid berfungsi dengan sempurna dan para jemaah memakmurkannya.
Di masjid, kebiasaannya kita lupa tentang pangkat, darjat dan keturunan. Kita adalah sama semasa di dalam masjid. Dengan persamaan sebagai hamba Allah itulah kita boleh menjalin kemesraan dan persahabatan.
Selagi kaum Muslimin tidak memakmurkan masjid, selama itulah tidak akan terbentuk ukhuwah yang diharapkan. Ini kerana masjid penting dalam kehidupan umat Islam seluruh dunia. Pada zaman Nabi Muhammad s.a.w., masjid bukan sekadar digunakan sebagai tempat solat dan iktikaf tetapi peranannya lebih luas. Suatu ketika dulu ia pernah menjadi pusat kebudayaan, muamalat dan perkembangan dakwah Is-
lamiah. Pendek kata masjid adalah pusat aktiviti umat Islam.
Sejak zaman Rasulullah lagi, kemajuan umat dan gerakan Islam semuanya bermula dari masjid. Ia dijadikan sebagai tempat untuk berkumpul, berbincang dan merancang strategi yang tidak terhad kepada bidang dakwah, malah perdagangan, perundangan, penyebaran ilmu serta pelbagai lagi.
Bangunan masjid pada zaman nabi dulu juga tidaklah sehebat dan secanggih masjid pada zaman ini. Ia hanya berlantaikan tanah, manakala dinding dan atapnya daripada pelepah kurma. Namun, ia dapat memainkan peranan yang berkesan dan berfungsi dengan baik dan sempurna. Sungguhpun ia tidak hebat dari segi bangunannya tetapi para jemaahnya terdiri dari kalangan orang-orang yang hebat, kuat imannya dan tinggi semangat juangnya.
Hebatnya masjid dan ummahnya pada zaman nabi disebabkan ia berfungsi dengan betul. Kegiatan ekonomi juga bermula dari masjid, di sinilah Baitulmal dibentuk, tempat menghimpun dana daripada orang-orang kaya yang kemudiannya diagihkan kepada fakir miskin dan orang-orang yang memerlukan bantuan.
Daripada kegiatan yang dijalankan, umat Islam menjadi kuat dan teguh serta lahirlah tokoh-tokoh berjasa yang sehingga kini kita kenang dan sanjung, di antaranya Abu Bakar as-Siddik, Umar bin Khattab, Usman bin Affan, Ali bin Abi Talib dan banyak lagi.
Kehebatan fungsi masjid pada zaman Rasulullah disebabkan beberapa faktor, di antaranya:
i. Tingkat kesedaran tinggi umat Islam dalam pegangan (iman) dan nilai-nilai ajaran Islam dalam semua aspek kehidupan.
ii. Pembina dan pengurus masjid mampu melaksanakan aktiviti masjid dengan keperluan masyarakat setempat dan status sosialnya.
iii. Wujudnya kesamaan cita-cita dan harapan antara pemerintah, pemimpin dan rakyatnya, khususnya antara pengurusan masjid, ustaz, khatib dan para jemaahnya.
Tiga faktor ini merupakan kunci kejayaan yang boleh dicapai sekira-
nya semua berniat ikhlas terhadap Allah untuk memajukan umat Islam.
Masjid yang kecil dan tidak cantik, tidak mendatangkan masalah, yang penting jemaahnya berhati besar, bercita-bercita, bersatu padu untuk memajukan ummah. Berbeza pada masa kini, bentuk fizikal masjid sahaja yang hebat tetapi jemaahnya tidak hebat.
Di negara kita masjid bukan sahaja termasuk dalam kategori hebat, besar, indah tetapi mahal pula harganya, cuma malangnya kehebatan itu tidak direfleksikan oleh kehebatan ummahnya.
Masjidnya hebat dan canggih tetapi ummahnya lalai dan lupa diri. Keimanan kita berada pada tahap yang rapuh dan lupa untuk memakmurkan masjid. Benarlah firman Tuhan dalam Surah at-Taubah ayat: 18 yang bermaksud: Hanya yang memakmurkan masjid-masjid Allah ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan Hari Kemudian, serta tetap mendirikan solat, dan menunaikan zakat dan tidak takut pada sesiapa pun selain pada Allah. Maka merekalah orang-orang yang diharapkan termasuk golongan orang yang mendapat petunjuk.
Kepentingan solat di masjid amat ditekankan oleh Allah dan Rasul-Nya. Penerangan dan peringatan mengenainya disebut dalam banyak ayat al-Quran dan pesan Rasulullah, di antara yang penting ialah sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: Menyempurnakan wuduk, mengajak orang ramai ke masjid, menunggu solat selepas solat, dapat membersihkan dosa-dosa. Sesiapa yang berulang alik ke masjid, sesungguhnya Allah menyediakan untuk mereka suatu tempat di syurga setiap kali mereka pergi dan balik.
Peristiwa yang berlaku pada zaman Rasulullah boleh dijadikan iktibar menunjukkan betapa pentingnya solat di masjid. Seorang hamba Allah bernama Ibnu Ummu Maktum yang buta, selalu khuatir tentang keselamatan dirinya apabila keluar rumah untuk ke masjid kerana di Madinah ketika itu terdapat banyak serangga yang merbahaya dan perigi buta dalam perjalanan ke masjid.
Beliau berjumpa Rasulullah dan menceritakan keadaannya itu kepada Baginda: ``Tidak adakah kelonggaran supaya aku boleh bersolat di rumah?'' Baginda bertanya semula kepada Ummu Maktum: ``Adakah kamu mendengar azan?'' Ia menjawab: ``Ya!'' Rasulullah pun bersabda: ``Aku tidak mendapati sebarang kelonggaran untukmu.''
Daripada peristiwa ini membuktikan betapa pentingnya solat di masjid kerana masjid didirikan untuk kita beribadat dan menjalankan aktiviti keagamaan yang lain. Kalau fungsi ini kita abaikan, maka yang rugi adalah umat Islam sendiri.
Wednesday, May 11, 2005
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment