Monday, May 09, 2005

Pegawai kerajaan digalak bukukan pengalaman bertugas

Pegawai kerajaan digalak bukukan pengalaman bertugas
PETALING JAYA 9 Mei - Pegawai-pegawai kerajaan digalak menulis pengalaman semasa bertugas untuk tatapan generasi akan datang, kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Malah Perdana Menteri berkata, krisis-krisis besar negara yang dikendalikan oleh pegawai-pegawai amat penting untuk dijadikan rujukan kepada pegawai-pegawai baru yang mentah dari segi pengalaman.
``Jika tidak dibukukan, generasi baru tidak tahu apa yang berlaku, kita belajar daripada kisah lalu, kenangan lalu dan kesilapan lalu,'' kata beliau.
Beliau berkata demikian di dalam ucapan pelancaran buku Service Par Excellence (Perkhidmatan Tiada Tolok Bandingnya) oleh Persatuan Alumni Pegawai Tadbir dan Diplomatik (Alumni PTD) dan Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) di sini hari ini.
Turut hadir ialah Presiden Alumni PTD, Tan Sri Sallehuddin Mohamed dan ahli-ahli alumni.
Buku yang ditulis oleh Naib Presiden Alumni PTD, Datuk Wan Mansor Abdullah dijual pada harga RM60 untuk kulit tebal dan RM40 untuk kulit nipis dan mengambil masa tiga tahun untuk disiapkan.
Menurut Abdullah, beberapa peristiwa penting seperti tragedi pergaduhan di Kampung Medan, Petaling Jaya, tsunami dan krisis kewangan Asia pada tahun 1997 adalah peristiwa penting yang perlu direkodkan.
Beliau berkata, semua peristiwa penting yang dikendalikan itu adalah berdasarkan pengalaman seperti peristiwa berdarah 13 Mei 1969.
``Manakala tsunami dan krisis kewangan Asia pula kita tangani dengan cara kita sendiri tanpa meminta bantuan daripada pihak lain,'' jelas beliau.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan pegawai-pegawai kerajaan yang mengendalikan situasi itu membukukan pengalaman masing-masing.
Beliau yang juga pernah menjadi PTD sebelum berkecimpung dalam politik mengakui jawatan itu amat penting.
``Saya banyak belajar semasa berkhidmat di dalam PTD yang dahulunya dikenali dengan Perkhidmatan Awam Tanah Melayu terutamanya semasa saya beralih ke dunia politik,'' katanya

1 comment:

mohamad kholid said...

bukan pegawai kerajaan shj tetapi semua orang patut menulis. sekurang-kurangnya anak cucu tahu siapa nenek moyangnya. org kita tidak menulis hatta sebuah diari pun.