Mantapkan lagi SAR -- Ekoran rintangan semasa mengeluarkan mangsa Nuri terhempas
Oleh Ramli Abdul Karim
GENTING HIGHLANDS 19 Julai – Gerakan mencari dan menyelamat (SAR) nahas helikopter Nuri yang berdepan pelbagai rintangan merentasi hutan tebal selama tujuh hari sejak Jumaat lalu, berakhir hari ini.
Namun, pasukan mencari itu boleh dipercepatkan jika koordinasi dapat dimantapkan.
Seorang Ahli Parlimen kanan, Datuk Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar mencadangkan agar diwujudkan pasukan khas SAR seperti Pasukan Khas Penyelamat dan Bantuan Bencana Malaysia (SMART).
Katanya, beliau akan membangkitkan cadangan itu di Parlimen pada sidang Ogos ini.
“Kita harap dengan penubuhan pasukan khas ini akan menjadikan misi mencari dan menyelamat lebih bersepadu,” katanya yang juga Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC) kepada Utusan Malaysia.
Misi SAR nahas Nuri itu ditamatkan apabila mayat mangsa terakhir, juruterbang Kapten Nor Azlan Termuzi, 29, berjaya dikeluarkan dari banjaran Gunung Bunga Buah di Banjaran Titiwangsa pada pukul 9.35 pagi ini.
Ia diterbangkan helikopter Mi-17 milik Jabatan Bomba dan Penyelamat dan tiba di Hospital Kuala Lumpur (HKL) lima minit kemudian.
Mayat dua lagi mangsa, Kapten Nor Intan Asykeen Mohd. Arof, 27, dan Kuartermaster Udara Sarjan Khusnizaim Ariffin, 34, pula dapat diterbangkan dari lokasi nahas ke HKL pada pukul 7.15 pagi ini.
Kedua-dua mayat mangsa sebenarnya telah dikeluarkan dari helikopter yang terhempas itu dan dibawa ke tapak pendaratan (LP) sementara kira-kira 200 meter dari lokasi nahas, malam tadi.
Namun, faktor hujan lebat dan keadaan gelap menyebabkan mayat mangsa tidak dapat dibawa keluar menggunakan helikopter atau jalan darat.
Tiga lagi mayat mangsa, Laskar Kanan Muhammad Ridzuan Ahmad, 27; Sarjan Azmie Md Yassin, 35, dan Laskar Kanan Saifulizam Alias, 28, dibawa keluar tengah hari semalam.
Dengan kejayaan membawa keluar mayat terakhir pagi ini, misi SAR itu ditamatkan 144 jam selepas Nuri berkenaan dilaporkan terputus komunikasi dengan menara kawalan di Pangkalan Udara Kuala Lumpur, pukul 9.35 pagi Jumaat lalu.
Sementara itu, di lokasi nahas pada masa ini, difahamkan cuma tinggal 15 anggota komando Pasukan Khas Udara (Paskau) yang ditugaskan mengawal bangkai helikopter Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) itu.
Mereka adalah antara kira-kira 300 penyelamat yang dikerah ke lokasi nahas bagi mengeluarkan mayat mangsa sejurus bangkai helikopter dikesan pasukan SAR, pukul 1.24 petang, Selasa lalu.
Utusan Malaysia diberitahu, kesukaran membawa keluar mangsa bukan semata-mata kerana faktor kesulitan untuk mengeluarkan mereka yang tersepit dalam bangkai helikopter.
Malah, pasukan SAR yang kebanyakannya terdiri daripada anggota komando juga berdepan halangan untuk membawa naik mayat ke LP.
Antara faktornya ialah, tahap kecuraman tanah gunung menuju ke LP ada yang mencecah 85 darjah.
“Bayangkan pengusung mayat yang biasanya diangkat dua orang terpaksa dibawa kira-kira 10 orang, itu pun terpaksa ikat tali pada batang pokok untuk membolehkan ia ditarik naik.
“Semua anggota SAR yang terlibat membawa keluar mayat dari lokasi nahas, berdepan bahaya dan risiko terjatuh atau cedera.
“Namun, demi menjayakan misi ini, kami teguhkan hati memastikan ia berakhir selamat dan semua mangsa dapat dibawa keluar,” kata seorang anggota SAR yang ditemui hari ini.
Walaupun disertai 1,386 anggota pelbagai agensi termasuk tentera dan polis, namun pelbagai kesukaran dihadapi pasukan SAR ketika mendaki dan menuruni lurah, cerun atau permatang di Gunung Bunga Buah dan bukit-bukit berhampiran menyebabkan mereka hanya menemui bangkai Nuri itu pada Selasa lalu iaitu hari kelima misi dilancarkan.
Setelah ditemui, mangsa pula hanya dapat dikeluarkan semuanya dalam tempoh tiga hari iaitu dari Selasa hingga hari ini kerana faktor halangan gerakan darat dan udara.
Anggota SAR terutama Paskau yang terlibat di lokasi bangkai helikopter tiada pilihan selain meminta bantuan udara bagi menerbangkan kesemua mayat yang berjaya dikeluarkan.
Ini kerana, misi membawa keluar mangsa melalui jalan darat hampir mustahil dilaksanakan kerana keadaan muka bumi yang sangat curam di samping faktor cuaca yang boleh membahayakan anggota SAR.
Lebih-lebih lagi, jika melalui jalan darat, kira-kira 15 anggota diperlukan mengusung satu-satu mayat menuju ke tanah lapang yang paling hampir iaitu Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak, kira-kira lima kilometer ke tenggara lokasi bangkai helikopter.
Perjalanan sejauh itu dengan melalui kawasan pergunungan curam dan beralun sangat menyeksakan pasukan SAR dan berisiko kepada mayat yang dibawa.
Ia juga menjadi antara faktor kelewatan pihak SAR menemui bangkai helikopter iaitu pada hari kelima misi atau 100 jam selepas pesawat itu dilaporkan hilang.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment