Wednesday, August 15, 2007

Sukar padam dendam

Sukar padam dendam
Oleh: AZLINARIAH ABDULLAH (WARTAWAN UTUSAN)
SEORANG askar Iraq meninjau kesan serangan bom kereta berhampiran sebuah universiti di Baghdad susulan penggantungan Barzan dan Awad, dua hari lepas. – Reuters.
ASALNYA selepas serangan ke atas Iraq pada Mac 2003, seramai 55 pegawai di negara itu disenaraikan sebagai orang paling dikehendaki oleh Amerika Syarikat (AS).
Namun selepas hampir empat tahun berlalu, bilangan seramai 50 orang itu, termasuk Saddam Hussein sendiri yang berada di tempat pertama, kini semakin sedikit jumlahnya. Ini kerana mereka telah ‘dihapuskan’, sama ada mati, dibunuh, diberkas, dihumban ke penjara, menunggu dibicarakan dan sebagainya.
Sebagai contoh, Saddam telah pun menerima hukuman gantung sampai mati pada perayaan Aidiladha 30 Disember lepas. Dua anak lelakinya, Uday dan Qusay yang diletakkan di tempat kedua serta ketiga orang paling dikehendaki, maut dalam satu pertempuran dengan askar AS pada Julai tahun 2003.
Terbaru, kelmarin, dua menteri Iraq iaitu Barzan Ibrahim Al-Tikriti dan Awad Hamed Al-Bander turut menyusuli hukuman mati ke atas Saddam. Kedua-dua mereka masing-masing berada di kedudukan enam dan tujuh senarai orang paling dikehendaki oleh AS.
Saddam dan dua menteri itu dihukum atas kesalahan jenayah kemanusiaan terhadap pembunuhan 148 orang Syiah di sebuah perkampungan di Dujail pada tahun 1982.
Mereka yang ada dalam senarai berkenaan dan masih dibicarakan ialah Taha Yasin Ramadan, bekas Naib Presiden Iraq yang didapati bersalah atas dakwaan membunuh. Dua menerima hukuman penjara seumur hidup tetapi mahkamah rayuan menyebut ia terlalu ringan dan mendesak turut diputuskan hukuman mati.
Ada juga yang masih dibicarakan daripada jumlah 55 yang dikehendaki itu. Antaranya ialah berhubung jenayah di Anfal, kempen ke atas puak Kurdis pada tahun 1987 dan 1988. Mereka yang terlibat didakwa atas jenayah perang dan jenayah kemanusiaan – yang turut membawa hukuman mati.
Semua hukuman yang dijatuhkan, matlamatnya ialah mahu menurunkan jumlah atau putaran keganasan di Iraq. Itulah skrip yang telah diperkatakan berulang-ulang kali oleh AS dan pemimpin Iraq yang pro kepada Washington. Tetapi lebih daripada itu ialah hukuman yang dijalankan bermotif balas dendam.
Kalau indeks keganasan yang mahu mereka turunkan, AS sememangnya ada lebih daripada keupayaan, mereka mengawal keselamatan di Iraq, senjata mereka juga jauh lebih canggih berbanding pejuang yang melakukan keganasan kecil-kecilan. Tetapi, motif balas dendam ini yang sukar dipadamkan oleh AS dan pemimpin di Iraq.
Menyusuli waktu Saddam digantung, berita melaporkan bahawa lebih 20 orang maut. Sama ada itu adalah protes kepada kematian Saddam atau marah terhadap sesama puak, sukar dipastikan dalam keadaan Iraq yang huru-hara.
Tetapi semasa negara masih lagi dalam perang seperti yang dialami Iraq sekarang, hukuman itu barangkali bermotif politik kalaupun agama atau fahaman turut sama menyumbang.
Itulah sebabnya keganasan masih belum padam di Iraq, sekalipun skrip yang dibaca oleh Presiden George W. Bush ialah keamanan hampir pasti dicapai dengan penggemblengan tambahan 21,500 askar ke negara Teluk itu tidak lama lagi. Menyusuli penggantungan Barzan dan Awad ialah serangan bunuh diri dan letupan bom kereta di luar Universiti Mustansiriyah. Kejadian telah membunuh sekurang-kurangnya 65 orang serta mencederakan beratus-ratus yang lain.
Saddam, Barzan dan Awad mati dalam keadaan menghinakan. Itu sudah cukup kuat untuk memanggil rasa marah dengan ditukar kepada tindakan ganas. Saddam digantung ketika mana umat Islam sibuk menjalankan ibadat korban. Itu menghiris jiwa umat Islam, pengikut Saddam dan keluarganya. Kalau bukan orang Islam yang membalas penghinaan itu, ia mungkin dilakukan oleh pengikutnya, barangkali juga keluarganya terpanggil berbuat demikian. Maknanya, lingkaran keganasan itu masih belum boleh keluar daripada kepompongnya. Belum reda kemarahan kerana aib yang dilakukan ke atas Saddam, Barzan dan Awad pula digantung. Dalam hal ini, kumpulan hak asasi manusia lantang mengkritik cara mereka berdua dihukum. Kepala Barzan dilaporkan terputus semasa prosedur itu dilakukan. Kalau laporan itu benar, maknanya, ia berbalik semula kepada motif yang mahu membalas dendam semata-mata. Barzan, yang dipercayai berumur 55 tahun semasa mati turut menghidapi penyakit kanser.
Apabila Barzan dan Awad mati ketika mana kemarahan ke atas penggantungan Saddam masih belum reda, ini memberi ruang yang cukup selesa untuk keganasan terus berlaku.
Dalam keadaan di mana kematian Saddam terus menyebabkan ketegangan ketiga-tiga fahaman di Iraq semakin meruncing, hukuman masing-masing terhadap adik Saddam serta bekas Ketua Hakim Mahkamah Revolusi Iraq itu semakin memburukkan keadaan.
‘‘Di Iraq sekarang ada empat kumpulan utama iaitu yang menyokong Moqtada Al-Sadr; Nuri Al-Maliki, Jalal Talabani dan Tareq Al-Hashemi.
‘‘Moqtada ialah ulama Syiah yang berpengaruh tetapi melambangkan Iran, Nuri ialah Perdana Menteri Iraq berfahaman Syiah tetapi mendukung idea serta kecenderungan AS, Jalal mewakili Kurdis manakala Tareq pula menjadi suara pihak Sunah,’’ kata Timbalan Dekan, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya, Profesor Dr. Mohamad Redzuan Othman.
Beliau yang banyak membuat kajian mengenai Asia Barat menjelaskan, anggota empat kumpulan tersebut tidak senada sesama mereka dan mungkin melancarkan keganasan di antara satu sama lain.
‘‘Itu kumpulan besar, belum dikira kelompok-kelompok kecil yang berbincang hal melancarkan keganasan secara tidak formal. Itulah sebabnya, api putaran keganasan di Iraq ini tidak akan padam – tidak selepas Saddam dan konco-konconya dihukum,’’ ujar beliau.
Mengambil kira kenyataan itu, boleh sahaja dibuat kesimpulan, Iraq sebenarnya lebih daripada parah dan barangkali tidak boleh diselamatkan walaupun askar tambahan dikerah ke bumi berkenaan. Dalam hal ini, Saddam telah mati. Begitu juga Barzan, Awad dan anak-anak Saddam turut menerima nasib sama. Cengkaman kebanyakan mereka yang ada dalam senarai 55 dikehendaki AS juga telah lama hilang. Konco-konco Saddam yang lain pula dipenjarakan. Sama seperti ketika mereka hidup, kematian serta penangkapan mereka telah turut menyebabkan jurang fahaman etnik di Iraq semakin melebar. Benar, mereka telah mati atau ditangkap, tetapi legasi mereka hidup dan terus subur.

No comments: