Wednesday, August 15, 2007

Debaran menanti serangan AS

Debaran menanti serangan AS
Oleh MOHD ROSLAN MOHD SALUDINBuat sekelian kalinya, dalam sejarah ketamadunan, dunia diancam oleh satu lagi keadaan yang akan menyebabkan banyak negara akan mendapat tempias daripada apa juga yang bakal berlaku di Iraq.
Sebagai salah sebuah negara yang banyak mempengaruhi harga dan pasaran minyak antarabangsa, apa juga yang terjadi kepada Iraq dan rantau Teluk akan menyebabkan keadaan pasaran minyak dunia tergugat dan berada dalam keadaan tidak menentu buat beberapa ketika.
Sesungguhnya minyak mampu menggugat kestabilan ekonomi dunia lantaran ekonomi setiap negara yang saling bergantungan. Ini hakikat yang tidak dapat ditolak oleh sesiapa pun. Tidak ada negara yang boleh mengelak daripada merasai bahana peperangan yang bakal berlaku.
Dalam pada itu keseluruhan umat Islam, bukan sahaja di Malaysia malah di seluruh dunia menunggu dengan menarik nafas penuh debaran kemungkinan - kemungkinan serangan Amerika Syarikat (AS) ke atas Iraq dan akibatnya kepada mereka masing-masing.
Jika benar seperti mana diberitakan oleh media bahawa mengikut laporan Pentagon, AS akan menyerang Iraq dua minggu selepas selesainya ibadat haji, bermakna peperangan dijangka berlaku sekitar lewat Februari atau awal Mac. Dilaporkan juga berhubung dengan kemungkinan penggunaan persenjataan yang sepuluh lebih dahsyat daripada yang pernah dialami Iraq pada peperangan 1991.
AS dikatakan sudah pun menghimpunkan 200,000 angkatan bersenjatanya di sekitar Teluk dan dikatakan memperuntukkan sejumlah hampir 60 bilion dolar (RM200 bilion) sebagai bajet peperangan keatas Iraq - satu jumlah yang melebihi lima kali ganda bajet pembangunan Malaysia bagi 2003.
Dalam keadaan yang sedemikian dunia, termasuk Malaysia berada dalam keadaan yang agak resah. Kerajaan sudah pun mengambil langkah-langkah awal bagi mempersiapkan diri untuk mengatasi sebarang kemungkinan yang tercetus akibat serangan AS ke atas Iraq.
Alasan yang digembar-gemburkan oleh AS dan sekutunya bahawasanya Iraq telah melanggar ketetapan resolusi 1441 yang antara lainnya memberi mandat kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyiasat status pemilikan dan pembangunan senjata pemusnah oleh Iraq. Resolusi 1441 juga menyebut tentang pencabulan resolusi PBB sebelum ini berhubung pematuhan Iraq terhadap perjanjian damai Iraq-Kuwait 1991 dan perkara berkaitan hak asasi manusia dan penglibatan Iraq dengan keganasan antarabangsa.
Kesemua ini dikatakan masih dalam siasatan PBB dan diberitakan pasukan penyiasat yang di ketuai oleh Hans Blix dan Dr. El-Baradei memerlukan lebih masa untuk menyiasat dan mengemukakan cadangan kepada Majlis Keselamatan PBB.
Persoalannya, hukum apakah yang diguna pakai oleh AS untuk menyerang Iraq? Tidak ada sebab bagi AS untuk menyerang Iraq sebelum kesemua tuduhan ke atas Iraq dibuktikan dan sebelum PBB selesai membuat siasatan dan secara jelas membuktikan kesalahan Iraq. PBB sahaja yang mempunyai mandat untuk menghalalkan serangan ke atas Iraq, bukannya AS.
Begitupun, jika inilah yang dijadikan alasan serangan ke atas Iraq, banyak negara lain yang patut diberi perhatian oleh AS saperti Korea Utara dan Israel yang masing-masing memenuhi salah satu atau dua kalau tidak semua kriteria memiliki senjata pemusnah, pencabulan hak asasi manusia dan penglibatan dengan keganasan.
Jelas apa yang lebih utama bagi AS ialah menyempurnakan cita-cita jahatnya yang tersirat melebihi daripada apa yang tersurat.
AS mempunyai agenda menguasai ekonomi dunia melalui penguasaan mutlak telaga dan pengaliran minyak di Teluk. Sejak Perang Dunia Kedua, AS menguasai ekonomi dunia dan menjadi kuasa utamanya. Kekuasaan mereka ke atas ekonomi dunia membolehkan mereka menguasai politik dunia.
Kekuasaan ini sebenarnya tidak pernah tercabar kecuali sewaktu minyak dijadikan senjata oleh negara-negara Arab pada tahun 70-an dan semasa wujudnya ancaman dalam perang dingin. Kini mereka telah berjaya meruntuhkan benteng Timur dan melihat satu-satunya ancaman ekonomi yang masih ada ialah bekalan minyak. Bukan menjadi rahsia bahawa dua pertiga daripada 1.6 juta tong minyak yang dikeluarkan Iraq sekarang digunakan oleh AS.
Sebagai penyimpan rizab yang kedua terbesar selepas Arab Saudi, Iraq dilihat mampu menggugat ekonomi AS dalam keadaan-keadaan tertentu dan oleh yang demikian pengguasaan telaga dan pengaliran minyak adalah menjadi strategik kepada AS.
Perang saraf dan psikologi terhadap Iraq dan negara Teluk seperti mana dilakukan kepada benteng Timur pada era perang dingin dahulu gagal menepati sepenuhnya matlamat ini walaupun mereka berjaya menguasai secara tidak langsung negara-negara minyak kecuali Iraq dan Iran.
Satu-satunys pilihan yang ada ialah menyerang Iraq dan mengubah rejimnya yang ada bila berkesempatan secara paksa.
Realiti semasa dunia unipolar pada hari ini yang wujud dengan keruntuhan benteng Timur difikirkan waktu paling sesuai bagi AS membinasakan Iraq dan memastikan tiada saingan dalam penguasaannya ke atas minyak dan seterusnya ekonomi dunia.
Kesempatan daripada sentimen anti-pengganas, anti-Arab, anti-Islam di AS yang memuncak selepas peristiwa 11 September digunakan sepenuhnya oleh AS untuk memulakan langkah awal menyerang Iraq. AS mungkin tidak ada peluang kedua selepas ini bagi meraih sokongan rakyatnya dan dunia kepada kempennya menyerang Iraq.
Faktor mengambil kesempatan juga dikatakan menjadi sebab tindakan perang ke atas Iraq apabila kelihatan kedudukan lemah kerajaan-kerajaan Islam di Asia Barat yang tidak berkemampuan bersatu dan menentang kuasa AS. Ini dibuktikan dengan kegagalan negara Islam bersatu menentang campur tangan AS di Afghanistan walaupun sebenarnya AS gagal menyelesaikan isu keganasan yang menjadi dalih mereka sewaktu menyerang Afghanistan.
Sebaik sahaja kerajaan sekutu AS di Afghanistan berjaya diwujudkan, Iraq kini dijadikan tumpuan. Sikap rejim Saddam Hussein yang anti-Barat dan anti-AS itu menyemarakkan dendam AS untuk menguasai Iraq melalui peperangan. Hasrat AS untuk menguasai politik Asia Barat hampir ke matlamatnya dengan penguasaan ke atas Iraq.
Dalam pada itu, perihal politik dan ekonomi dalaman AS sendiri dilihat sebagai di antara faktor yang tersirat serangan AS terhadap Iraq. Adalah tidak menjadi rahsia lagi bahawa peranan pelobi-pelobi dalam penentuan kepimpinan dan polisi AS.
Pelobi dari kumpulan yang berkepentingan di dalam industri pembinaan senjata AS umpamanya, mahukan Iraq diserang supaya industri mereka mampu terus produktif dan kekal beroperasi.
Pelobi dari kumpulan perindustrian minyak pula dahagakan kontrak dan peluang menerokai potensi minyak Iraq kerana peluang di Eropah dan AS semakin berkurangan akibat daripada rizab yang sudah hampir habis.
AS juga dikatakan akur dengan tekanan pelobi Yahudi yang gerunkan kekuatan Iraq di samping hasrat mengalihkan tumpuan dunia daripada penyelesaian masalah kemanusiaan yang lebih mendesak yang berlaku di Palestin berbanding di Iraq.
Kegagalan kerajaan Bush Jr. mengatasi masaalah ekonomi dan terhakisnya keyakinan rakyat AS kepada kesihatan ekonomi mendesak Bush menakutkan rakyatnya dengan momokan yang direka (Iraq) sebagai lebih mendesak berbanding permasalahan ekonomi yang dihadapinya. Ini dibuat supaya rakyat AS bersatu dan alpa kepada permasalahan dalaman sebenar pentadbirannya - sebuah pentadbiran yang dipilih ke White House melalui kemenangan yang tipis dalam sejarah pemilihan Presiden AS.
Kalau direnungkan, sebesar mana sangatkah ancaman Iraq berbanding ancaman blok komunis pada masa Perang Dingin dahulu yang mewajarkan ia diserang untuk kesekian kalinya?
AS dan sekutunya tidak pernah menyerang mana-mana blok negara komunis pada era perang dingin yang jelas mempunyai keupayaan pemusnahan yang berkali ganda lebih hebat dan dahsyat dari yang ada pada Iraq hari ini. Sudahlah keruntuhan ekonomi, kebuluran, kekurangan bahan makanan dan ubat-ubatan melemahkan Iraq dan rakyatnya, wajarkah kali ini mereka diserang habis-habisan?
Kenapa tiada tindakan kepada Korea Utara atau Israel jika soal menghapuskan ancaman senjata pemusnah besar-besaran (WMD) dan keganasan menjadi alasan menyerang Iraq? Kenapa ada sikap dwi-standard diaplikasikan dalam kedua-dua kes ini?
Kenapa tidak tunggu sehingga PBB memutuskan dan membuktikan Iraq benar-benar bersalah saperti mana didakwa?
Kenapa isu keganasan ke atas penduduk Palestin dikesampingkan sedangkan disanalah saban hari keganasan dan pencabulan hak asasi manusia berleluasa. Jika benar rejim Iraq ganas apakah kurangnya keganasan Israel terhadap Palestin?
Amatlah malang bagi rakyat Iraq khususnya, mereka dihukum bunuh secara keseluruhan oleh AS dan sekutunya dengan alasan bahawa dunia tidak boleh menerima rejim Saddam Hussin. Sebagai memperkuatkan hujah mereka, mereka menuduh Saddam sebagai pengganas yang memiliki WMD dan mesti dihapuskan. Umat Islam di Iraq diugut dengan diberi kata dua sama ada mereka menghukum Saddam atau menghadapi serangan AS.
Sudahlah sekian lama - sejak 1991 rakyat Iraq telah disiksa dan dilemahkan melalui berbagai sekatan yang tidak berperi kemanusiaan. Ramai rakyat Iraq - kanak kanak, wanita dan orang tua yang tidak berdosa terkorban dan tersiksa akibat daripada sekatan yang sedemikian, namun mereka tidak sekali-kali menyerahkan maruah mereka dan tunduk kepada AS dengan begitu mudah.
Saddam terus berkuasa dan terus mendapat sokongan daripada rakyatnya. Inilah hakikat yang tidak boleh diterima oleh AS.
September 11 menjadi titik tolak kepada sikap rakus AS menjadikan perang sebagai senjata menentang keganasan. AS menjadikan peperangan menentang keganasan sebagai penyebab untuk menyerang Afghanistan dan kini Iraq.
Umat Islam melihat keangkuhan AS ini sebagai pencabulan kepada nilai-nilai yang AS sendiri perjuangkan - demokrasi, kebebasan dan hak asasi manusia. Tidak hairanlah bahawasanya apa yang tersirat bagi AS lebih penting daripada yang tersurat dalam konfliknya dengan Iraq.
- Mohd Roslan Bin Mohd Saludin, Fellow, Pusat Perundingan dan Latihan, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

2 comments:

mohamad kholid said...

AS akan pulang... Tunggulah pilihanraya presiden akan datang

JHaZ KiTaRo said...

salam ziarah from Dublin.. :)