Tuesday, February 22, 2005

400 mati gempa bumi di Iran

TEHRAN 22 Feb. - Hampir 400 orang terkorban manakala 5,000 lagi cedera apabila satu gempa bumi kuat melanda tenggara Iran awal hari ini.

Gempa bumi itu dilaporkan telah memusnahkan beberapa buah kampung dan sekurang-kurangnya sebuah kampung terputus hubungan kerana jalan tidak dapat dilalui.

``Seratus mayat telah dikeluarkan dari runtuhan dan 5,000 orang lagi cedera,'' kata ketua Hospital Universiti Kerman, Ali Sharifi.

``Tetapi pasukan penyelamat masih belum dapat masuk ke banyak kampung dan kami menjangka bilangan korban jiwa lebih tinggi,'' katanya di radio kerajaan Iran.

Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (AS) memberitahu, gempa bumi berukuran 6.4 skala Richter itu berpusat 60 kilometer ke barat laut bandar Kerman.

Televisyen Iran pula melaporkan kekuatan gempa bumi pada 6.2 skala Richter dan kebanyakan kerosakan berlaku di kawasan Zarand di wilayah Kerman.

Seorang pegawai perkhidmatan bencana alam di Kerman, Mohsen Salehi memberitahu, lima buah kampung di kawasan itu mengalami 20 hingga 70 peratus kerosakan.

``Kami telah menghantar dua buah helikopter ke tempat kejadian dan empat lagi akan berlepas ke tempat kejadian,'' katanya.

Kerajaan turut mengerahkan dua batalion askar untuk membantu operasi menyelamat.

Gabenor Zarand berkata, belum ada laporan mengenai kemalangan jiwa di bandar Kerman tetapi gempa bumi itu menyebabkan bekalan elektrik di sana terputus.

Kawasan yang dilanda gempa bumi hari ini terletak kira-kira 200 kilometer ke barat laut bandar purba Bam di mana lebih 30,000 orang terbunuh dalam satu gempa bumi pada Disember 2003. - AFP

No comments: