Kampus gedung sasterawan
Oleh ANJAN AHZANA
7 Mac 2004
Mingguan Malaysia
TULISAN ini barangkali boleh mengangkat sejumlah besar nama penulis baru yang diyakini boleh membentuk segerombolan baru bagi mengarusi kesinambungan penulis yang datang dan pergi bagi setiap kurun.
Di bawah program pengembangan penulis baru khususnya oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tidak harus dipertikaikan malahan wujudnya pelbagai program seperti Minggu Penulis Remaja (MPR), dan penerbitan majalah Tunas Cipta yang dikhaskan untuk memberi ruang kepada bakal penulis baru seperti mahu melengkapkan tanggungjawab itu.
Cuma keberkesanannya ke arah pembinaan jati diri penulisnya, di samping kesannya kepada mutu pengkaryaannya sama sekali harus dilihat secara lebih mendalam. Ada baiknya, pada tempoh lima tahun pertama penerbitan majalah ini, biarkan seramai mungkin anak muda menulis tanpa dihiraukan mutunya selagi layak dipanggil karya tetapi proses pembesaran harus dikawal dan sesudah itu sampailah waktu untuk mengemas kini kualiti karya di dalamnya pada tahap yang sepatutnya.
Penerbitan majalah Tunas Cipta, terbitan DBP yang dikira tepat kepada penulis baru dan agak kurang diberi perhatian oleh sebilangan besar para penulis tanah air.
Lantaran yang mengisi ruangnya ialah tangan penulis baru yang rata-ratanya agak ketinggalan dari segi mutu, teknik dan gaya penulisan tetapi apa yang lebih penting dan harus dilihat adalah hasrat yang mahu disampaikan dalam suara anak muda ini. Apa sebenarnya yang mereka mahukan dalam karyanya?
Bermula dari pertengahan tahun 2001, Tunas Cipta membuka laluan kepada semua anak muda yang mahu berjinak dalam dunia penulisan hinggalah ke hari ini laluan itu masih dilanjutkan, dengan tujuan meramaikan lagi khalayak menulis.
Dimaklumi bahawa kerja menulis adalah kerja murni dan kemurnian itu sebenarnya jalan kepada pembentukan warga yang berjasa.
Yakni yang mengetahui tanggungjawabnya kepada dirinya, kaum keluarganya malah ke peringkat lebih tinggi ialah kepada bangsa dan negaranya sendiri. Justeru antara matlamat lain yang harus ditekankan dalam dunia penulisan adalah kemurnian yang akhirnya mampu memurnikan seluruhnya. Pasti, melalui penulisan hasrat itu boleh dikemukakan dengan daya kekreatifan masing-masing.
Hinggalah dari tempoh itu sejumlah besar nama penulis baru telah muncul hasil dari ruang penerbitan itu seperti Muhd. Lutfi Ishak, Salman Sulaiman, Zanazanzaly, Rozais al-Anamy, Jimadie Shah, Wan Nor al-Tasnim Saad, Ghafirah Idris, Amalia Fauza Bohari, Ida Munira Abu Bakar dan Isa Romtie.
Tidak ketinggalan nama-nama seperti Zurairi Hanip, Wan Azman Wan Mamat, Dilah Tuah, Luciana Benjamin, Mohd. Salleh Hussin, Nur Hidayah Asari, Norizam Jamian, Noraini Othman, Sriwati Labot, Suhaila P. Mas, Rosmaini Mustafa, Catherine Tan May Lik, Nazira Mohd. Nur, Ruhana Md. Zaki, Ms. Dynn Marzuki, Azmoley Mohamed Aziz, Ummu Hani Abu Hassan, dan pelbagai nama-nama yang tidak diketahui dari mana datangnya.
Di sebalik nama tersebut - ramai yang lahir dari pelbagai program penulisan yang dianjurkan sama ada oleh badan induk DBP atau mana-mana persatuan penulis di seluruh tanah air. Selebihnya terbit daripada minat yang mendalam dalam diri seterusnya mengirimkan karya mereka dengan tujuan mendapat penyiaran di mana-mana media dan Tunas Ciptalah yang paling sesuai bagi peringkat permulaan ini.
Namun begitu, sudah pun berlaku fenomena di kalangan penulis baru ini gejala tumbuh-lenyap-hilang yang akhirnya mengganggu proses penerusan pengkaryaan dari satu tahap kepada tahap yang tinggi yakni dalam kematangan berkarya.
Adalah perlu dilihat kepada perkembangan sastera yang berlaku di kalangan mahasiswa negara jiran khususnya Indonesia, meskipun bukan tujuan mendewakannya tetapi kadangkala iktibar harus diambil sebagai usaha baru dalam pembenihan ke arah menumbuhkan nilai positifnya dengan menjenguk cara pendekatannya kepada golongan muda.
Agenda kesasterawanan seperti Sasterawan Bicara, Siswa Boleh Bertanya, dan Sasterawan Bicara, Mahasiswa Membaca yang telah dimulakan di beberapa universiti di Indonesia adalah terlalu baik dalam usaha mengembangkan minat dan bakat penulisan di kalangan mahasiswa mereka melalui pendedahan tersebut.
Pasti keluar masuk sasterawan mereka seperti Taufik Ismail, Hamid Jabbar, Supardi Djoko Damano, W.S Rendra, Emha Ainun Nadjib, Djamal D. Rahman, dan lain-lain lagi. Malahan budayawan seperti Asrul Sani, Novia Kolopaking ke kampus pasti meninggalkan sesuatu yang berharga ke dalam tubuh mahasiswa.
Di negara kita pada umumnya kekuatan mahasiswa lebih terserlah dalam soal kepimpinan atau kejayaan menjalankan program atau sebarang aktiviti kemahasiswaan dan selebihnya menerbitkan sekelompok mahasiswa yang memperjuangkan politik partisan.
Bakinya mahasiswa bermatlamatkan masa depan akademik, malahan ada sesetengahnya memilih untuk berada dalam ruang cacamarba yakni tanpa memiliki matlamat yang jelas atau disemat aspirasi tersendiri dalam melihat prospek diri.
Alangkah baiknya, ruang penulisan yang ada masa kini diambil perhatian oleh mahasiswa seluruhnya untuk sama-sama menyampaikan idea, pendapat, pandangan atau yang lebih maju adalah dengan menelaah karya sastera seterusnya menjadi salah seorang penulisnya untuk menikmati jurus dan posisi keindahannya.
Ruang mahasiswa yang sebenarnya tersedia untuk diisi dengan agenda kesasterawanan sewajarnya mencetuskan kesedaran betapa saluran ini boleh dijadikan pemangkin kepada pembentukan intelektualiti, kepekaan kepada peluang serta nilai kemanusiaan yang lebih murni yang akhirnya menumbuhkan nilai positif dan lebih bersifat benificial kepada khalayak mahasiswa.
Justeru, pimpinan mahasiswa melalui Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) di seluruh negara harus memulakan pendekatan ini dengan menjalin kerjasama dengan pihak yang berkuasa dalam bidang penulisan terutamanya DBP, GAPENA, atau mana-mana persatuan yang boleh dihubungjalinkan bagi merancang sesuatu program atau aktiviti yang menjurus kepada perkembangan dunia sastera selain membantu mengemukakan sebarang isu sastera mutakhir.
Lantaran itu pelbagai program seperti Mahasiswa Mendekati Sastera boleh dilaksanakan jika kecenderungan ini berlaku secara pantas di dalam kampus. Barangkali hayat usia sasterawan negara seperti A. Samad Said, dan yang mutakhir seperti S. Othman Kelantan tidak boleh dibiarkan hanya usai di hujung pena begitu sahaja tanpa ada impak kepada pembentukan karakter masyarakat muda.
Lantas, penulis-penulis baru yang masih berada di kampus sebenarnya mampu membina dominasinya tersendiri. Lalu, proses pembentukan kumpulan kecil yang boleh dimajukan sebagai platform ke arah proses pembesaran jika adanya perhatian dan galakan daripada pihak pentadbiran universiti.
Malah pimpinan pelajar sendiri dengan menjadikan agenda kesusasteraan sebagai wahana penting kepada pengembangan intelektual mahasiswa dan susilanya berserta world-view terhadap sebarang isu yang berlaku di dalam dan luar negara.
Diyakini bahawa penyertaan mahasiswa secara menyeluruh dari seluruh institusi pengajian tinggi di negara ini kepada dunia kesusasteraan akan membuka jalan penyelesaian terhadap masalah pembaca sastera yang makin terhad.
Untuk membaca sastera yang tinggi malahan absurd kadangkala memerlukan keupayaan intelektual yang jua sama dan itulah yang diharapkan berlaku dalam masyarakat kampus.
Lantaran orang dari kampus jualah yang banyak membuang masa berdampingan dengan telefon bimbit, chatting, coupling, dan beberapa aktiviti yang tidak memperlihatkan energi mahasiswa sebenar dan tanggungjawabnya kepada dunia ilmu.
Penglibatan mahasiswa secara serius dalam bidang sastera atau mana-mana penulisan ilmiah mampu membawa perubahan dalam mengubah tahap pemikiran mereka agar beralih kepada mengenal khazanah seni.
Ini akhirnya mampu memberi tahap pengetahuan luas, membentuk pemikiran kritis, dan menggerakkan daya kreativiti selain mengisi ruang kemahasiswaan untuk berdiskusi soal sejagat dan hubungannya kepada perkembangan masyarakat.
Penelaahan terhadap bahan ilmiah dan khazanah sastera ini menjadikan mahasiswa lebih mampu menguasai sejarah keagungan bangsa Melayu dan latar belakang bangsa yang boleh dikenal melalui karya sastera demi melahirkan semangat cintakan negara dan membina susila perpaduan.
Secara optimis, jika ada hubungan antara persatuan pelajar dari seluruh universiti di negara kita untuk berkerjasama dengan birokrasi kerajaan seperti DBP, dan persatuan penulis seperti Gapena, Pena atau mana-mana persatuan negeri.
Pastinya akan berlaku satu gelombang besar-besaran mengajak kelompok mahasiswa untuk mendekati sastera. Lantas, ada kemungkinan wujudnya gerombolan baru penulis muda yang menjadikan kampus sebagai pusat pengembangan sastera dan atmosfera ilmiah.
Lalu mampukah mengambil alih cara hidup mahasiswa masa kini yang lebih bersifat antiintelektual dan anti-establishment, dan lebih mendukacitakan ada segelintir atau makin bertambah di kalangan siswa lebih suka memilih kota lifestyle sebagai cara penggantungan rohani untuk melekatkan diri mereka di pusat hiburan dan secara beransur menuju kepada eskapisme.
Maka, kekosongan ruang sastera perlu mengisi mereka untuk melahirkan masyarakat muda yang murni. Selain, karya yang bermutu turut mengimbangi kepada pertumbuhan masyarakat yang susila.
Tuesday, February 01, 2005
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment