Tuesday, February 01, 2005

Dalam Renyah yang Sebentar

DALAM RENYAH YANG SEBENTAR

Renyah di hadapan
menukar pandangan
ada kabur di mata,
harus kau jernihkan
kerana tempias yang selalu
menyaljukan jiwa jua, perlu
dibasahkan dalam
percikan selalu mengharuskan
sebuah ketabahan
untuk melalui
bilah siang tajam
sebagai seorang perempuan
yang datang ke kota.

Dalam renyah itu
sesudah hujan
bagaikan ada jeriji
memisahkan antara diriku dan dirimu
dalam sarat awan
selalu menghamilkan
resah di jalan
meski aku yang dalam
kebasahan
dapat jua kulihat matamu
kebasahan
di bawah teduhan
bangunan tinggi
kota menjadi dingin
untuk menerima kau
sebagai penghuni.

Kerana dalam renyah itu
payahnya kau mengatakan
untuk hidup di kota tanpa ada
seorang lelaki di sisi.

Aku tidak mahu
kepada keindahan
dan juga neon kota,
kerana malam
yang selalu merebahkan
sentosa perawan.

Kadangkala mahu kukatakan
kepada para pemuda
selimutilah gadis yang sering
kau bawa pergi
dengan selubung murni
agar mereka tidak kedinginan
nanti tiada pula
terbaham angin malam yang
celaka.

Dan aku tidak mahu
keindahan itu
meski kota ini pasti
mengecewakan nikmat

Kerana aku, cuma mahu
kau selamat di sisiku
mungkin begitu jua katamu.

Anjan Ahzana
Taman Tun Teja, Selangor
(Mingguan Malaysia, 3 Oktober 2004)

No comments: