Tuesday, February 01, 2005

Rencana Agama

Kesedaran beragama - Mungkinkah sekadar nama?
Oleh ANJAN AHZANA

Tidak mampukah Islam dalam ajarannya mengawal peribadi penganutnya daripada melakukan maksiat atau perihal maksiat yang lain?

Dimaklumkan bahawa kehidupan sekitar ibu kota atau mana-mana bandar, pasti keadaan masyarakatnya boleh ditafsir sejauh mana penghayatan dan kepatuhan kepada ajaran Islam melalui pandangan mata yang disorot pada sebelah malam atau siangnya.

Pastinya remaja yang sering kali dikaitkan dengan keruntuhan sosial melalui kes-kes yang ditimbulkan seperti pesta seks, sumbang mahram, penyalahgunaan dadah, pil-pil khayal dan seribu macam masalah yang akhirnya memberikan tanda tanya, adakah ini satu pilihan untuk mereka mencari keseronokan jiwa melalui jalan eskapisme.

Wujud pertanyaan, adakah kita `Islam' hari ini disebabkan desakan naluri untuk memilih berada dalam agama sebagai tempat penyerahan jiwa dengan meluahkannya melalui satu bentuk hubungan dengan Pencipta semesta?

Ataupun kita Islam hari ini, lantaran warisan nenek moyang yang meletakkan nama Islam sebagai tanda beragama, selebihnya mengabaikan tentang apa sebenarnya yang diterapkan Islam melalui al-Quran tentang penghayatan jiwa untuk menjadi penganut yang beriman, melakukan perbuatan yang baik dan mulia, serta berada dalam ruang kemanusiaan dengan begitu sempurna.

Justeru, berlaku kesilapan dalam masyarakat untuk membenihkan kesedaran beragama sebagai tempat pengisian jiwa, cara luahan perasaan dalaman kepada satu kuasa besar yakni Allah s.w.t melalui solat, doa, muhasabah, zikir, munajat dan aktiviti-aktiviti ibadat yang lain.

Kehilangan `ruang rohani' ini mengakibatkan remaja kehilangan tempat bergantung atau sering `kekosongan jiwa' untuk mencari makna kehidupan dan mengenal secara dalamnya diri sendiri.

Lantas, apa yang mendorong mereka keluar daripada `jiwa' dengan memilih cara kepuasan tersendiri, sama ada berada pada jalan baik atau salah?

Kebanyakan mereka akan cepat terpengaruh untuk berada dalam ruang hiburan semata bagi mengisi kekosongan ini.

Apatah lagi kepada remaja yang lahir dalam keluarga kucar-kacir, tekanan kemiskinan, kesempitan tempat tinggal, atau masalah lain yang akhirnya terpinggir daripada nilai-nilai kehidupan Islam, mengundang mereka untuk mencari penyelesaian lain.

Tanpa kekuatan agama yang mengakari jiwa secara utuh, pastilah akan merapuhkan ketahanan diri daripada melakukan perkara yang di luar batasan agama.

Firman Allah menegaskan betapa perlunya berpegang kepada ajaran Islam yang disampaikan melalui rasul-Nya dan melalui kitab-Nya al-Quran demi mencari ketenteraman jiwa yang mampu mengelakkan daripada terdedah kepada ruang maksiat.

``Wahai Tuhan Kami! Utuslah kepada mereka seorang Rasul dari kalangan mereka sendiri, yang akan membacakan kepada mereka ayat-ayat-Mu (firman-Mu) dan mengajarkan mereka isi kandungan Kitab (al-Quran) serta hikmah kebijaksanaan dan membersihkan (hati dan jiwa) mereka (daripada syirik dan maksiat). Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.'' (Al-Baqarah : 129)

Manusia tanpa agama, pasti mengakibatkan berlaku `kacau bilau' dalam sesebuah masyarakat.

Jika dilihat sewaktu zaman jahiliyah bagaimana porak-peranda masyarakatnya dengan peperangan antara kabilah, wujudnya penindasan terhadap kaum wanita, dan meluasnya adat-adat yang di luar sifat keperimanusiaan seperti penanaman bayi perempuan lantaran sikap memandang rendah kepada martabat perempuan, dan segala bermacam hal yang begitu mengharu birukan makna kehidupan lantaran tiadanya sistem pegangan yang teratur dan jalan yang benar.

Hari ini, kekeruhan sosial yang berlaku dalam masyarakat di negara kita pada peringkat serendahnya yang menyalahi tabii manusia seakan mahukan `penjernihan semula'.

Ini disebabkan Islam sebagai agama harus didalami sepenuhnya oleh semua golongan masyarakat agar mampu mengembalikan kehidupan yang lebih mulia, sejahtera dan aman.

Aspek ini dilihat betapa perlu diambil berat oleh semua masyarakat kerana inilah jalan yang sebenar yang mampu mengembalikan nilai kehidupan diri dan anak-anak bahkan dalam sesebuah keluarga hinggalah ke dalam masyarakat seterusnya.

Justeru, apa yang amat penting adalah kesedaran beragama harus ditanya dalam jiwa agar adanya muhasabah yang akhirnya menjawab: Kenapa Islam yang dianuti ini perlu diselami dan dihayati secara menyeluruh agar terlahir dalam jiwa makna kebahagiaan, tentang sebuah kehidupan yang sebenar, terisi jiwa dengan ketenangan melalui pelaksanaan ibadat kepada Allah serta mampu menghasilkan sebuah masyarakat yang sepadu melalui unsur persepakatan yang dianjurkan oleh Islam.

Firman Allah s.a.w.: ``Dan Nabi Ibrahim pun berwasiat dengan agama itu kepada anak-anaknya dan (demikian juga) Nabi Yaakub (berwasiat kepada anak-anaknya) katanya: ``Wahai anak-anakku! Sesungguhnya Allah telah memilih agama (Islam) ini menjadi ikutan kamu, maka janganlah kamu mati melainkan kamu dalam keadaan Islam.'' (Al-Baqarah ayat 132).

21 Oktober 2003
Utusan Malaysia

No comments: