Friday, February 18, 2005

Manadel al-Jamadi

Tahanan Iraq sah mati didera
(petikan dari Berita Harian 19hb FEB 2005)


GAMBAR fail 19 Mei 2004 menunjukkan askar wanita Amerika,
Sabrina Harman, memberi reaksi gembira bergambar di
sebelah mayat Manadel al-Jamadi yang kini disahkan
mati kerana didera. – Gambar Reuters

SAN DIEGO: Punca kematian seorang tahanan Iraq di penjara Abu Ghraib ketika disoal siasat Agensi Perisikan Pusat Amerika Syarikat (CIA) adalah disebabkan digantung dengan pergelangan tangannya diikat ke belakang.



Mayat tahanan dikenali Manadel al-Jamadi, itu sempat diambil gambar bersama beberapa askar Amerika yang tersenyum lebar dan diketahui berikutan skandal penderaan di penjara itu yang terbongkar tahun lalu.

Tentera Amerika hanya mengklasifikasikan kematian al-Jamadi yang ditahan secara rahsia, sebagai bunuh, tanpa menyatakan punca sebenar kejadian itu.

Namun, beberapa laporan dipetik agensi berita The Associated Press (AP) menunjukkan kematian al-Jamadi dalam kedudukan dikenali ‘Palestinian Hanging’ yang disifatkan kumpulan hak asasi manusia sebagai bukti didera kerana digantung dengan pergelangan tangannya diikat ke belakang.

Tidak diketahui sama ada tindakan menggantung mangsa pada kedudukan itu diluluskan pentadbiran Presiden George W Bush bagi kegunaan CIA dalam proses soal siasat. Agensi perisikan itu dan Jabatan Kehakiman bagaimanapun enggan mengulas laporan terbaru itu.

Sementara itu, laporan lain menyatakan satu dokumen terbaru tentera Amerika semalam mendedahkan perbuatan askarnya mendera tahanan di Iraq dan Afghanistan yang tidak dilaporkan sebelum ini.

Dokumen itu menyatakan, meskipun disiasat, ada kes ditolak atas alasan bukti tidak mencukupi.

Dokumen diperoleh Kesatuan Kebebasan Awam Amerika (ACLU) menerusi perintah mahkamah itu mendedahkan perbuatan seperti tahanan cedera teruk dipukul ketika soal siasat serta mulut disumbat dengan pistol bagi menakutkan mereka.

Kes paling serius membabitkan seorang tahanan Iraq di Tikrit mendakwa tangannya patah akibat perbuatan ganas beberapa askar Amerika berpakaian biasa.

“Mereka turut memijak muka, memukul kakinya dengan kayu besbol selain menyumbat mulutnya dengan pistol tidak berpeluru dan ditarik picu,” kata dokumen itu.

Tahanan lelaki itu turut mendakwa askar Amerika itu menjerut lehernya dengan tali ketika soal siasat beberapa hari. – AFP/AP

No comments: