Saya ditahan orang yang menyayangi kami - Meutya
JAKARTA 22 Feb. - Meutya Hafid, wartawan stesen televisyen MetroTV yang dibebaskan pada Isnin selepas diculik di Iraq pada 15 Februari mengakui, sepanjang tempoh ditahan itu beliau dan jurukamera, Budiyanto berada di tangan orang yang menyayangi mereka.
``Alhamdulillah, kami selamat. Kami tidak berada di tangan orang yang jahat, kami berada di tangan orang yang menyayangi kami selama masa diculik,'' katanya dalam perbualan ringkas dengan ibunya Metty Hafid yang disiarkan secara langsung oleh MetroTV lewat malam tadi.
Sambil berulang kali mengucapkan kesyukuran, Meutya, 26, juga berkata para penculik bersenjata itu, yang menggelarkan diri mereka Jaish al-Mujahidin, tidak pernah sekali-kali melakukan sebarang perbuatan kasar atau menyakiti dirinya dan Budiyanto.
``Alhamdulillah, mereka bukan musuh kita. Mereka mungkin punyai musuh sendiri tetapi Indonesia dan warga negara Indonesia bukan musuh mereka.
``Tidak ada perlakuan kasar atau kejahatan sama sekali,'' katanya.
Meutya juga berkata tidak ada di kalangan penculik bersenjata itu yang berani menyentuh dirinya ketika ditahan di sebuah tempat terpencil di tengah-tengah padang pasir yang tidak diketahui lokasinya.
``Perlu saya tegaskan di sini bahawa hukuman bagi anggota Mujahidin yang berani menyentuh saya adalah hukuman mati di depan saya oleh pemimpin mereka dan alhamdulillah tidak ada yang menyentuh saya,'' katanya.
Budiyanto pula ketika menceritakan kebaikan kumpulan bersenjata yang menahan mereka berkata, bahawa pada malam pertama, mereka berdua terpaksa menahan kedinginan cuaca malam di padang pasir, `sehingga menyucuk ke tulang'.
``Tetapi selepas itu orang dari kumpulan penculik telah membawa selimut yang cukup tebal untuk kami dan tidak lagi terlalu dingin malamnya,'' katanya.
Mereka juga sama sekali tidak membongkar (kamera TV) atau cuba memainkan pita kaset rakaman di dalamnya untuk mengetahui apa yang di dalam tetapi hanya membawanya untuk menjaga keselamatannya, kata Budiyanto.
Berbual ringkas dengan isterinya Lestari dan anak perempuannya, Larasati, Budiyanto berkata beliau sihat dan mohon didoakan keselamatannya pulang ke tanah air.
Beliau juga gembira diberitahu isterinya yang mengandung tiga bulan anak kedua mereka bahawa kandungan itu sihat dan sudah diperiksa doktor.
Ketika temu bual itu berlangsung, mereka berada dekat sempadan Iraq menuju ke Jordan.
Di akhir temu bual itu, Meutya memberitahu pengacara di sini, Boy Noya, bahawa timbul sedikit masalah dengan pegawai sempadan Iraq dan mereka mungkin dikehendaki berpatah balik ke Baghdad sebelum dapat dibenarkan meninggalkan Iraq. - Bernama
Tuesday, February 22, 2005
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment