Karya - Cabaran potensi penulis
Oleh Azman Ismail
12 Oktober 2002
Utusan Malaysia
BEBERAPA buku karya penulis muda yang dianggap bermutu menjadi pilihan sarjana sastera untuk dibincangkan di Pahang, baru-baru ini. Perbincangan ini adalah sebahagian program pelancaran Saketariat Penulis Muda GAPENA (SPMG) bagi negeri Pahang.
Usaha ini jelas memperlihatkan keseriusan Gabungan Penulis Nasional (GAPENA) memperkenalkan penulis muda kepada masyarakat tempatan. Lebih menarik apabila karya-karya ini dibicarakan oleh mereka yang memiliki nama mapan dalam sastera tanah air.
Novel Hidayah Si Gadis Cilik karya Amaruszati Noor Rahim dibicarakan oleh Dr. Othman Putih. Kumpulan puisi Tamtama karya Anjan Ahzana dibicarakan oleh Imlan Adabi manakala kumpulan puisi Usrah Perjalanan karya Khairul Bariah Arup menjadi bahan sorotan Prof. Madya Dr. Siti Zainon Ismail.
Othman ketika memperkatakan karya Amaruszati melihat novel tersebut sebagai kejayaan kreatif penulisnya selepas kehadiran beberapa novel terbaiknya seperti Bila Sena Kembali Berbunga (1995) dan Bila Sena Kembali Berbunga II (2000).
``Dalam karya ini, saya melihat Amaruszati menggunakan pengalaman semasa kecil untuk mengolah dan menyusun kronologi nostalgia. Ini termasuklah pengalaman budaya yang identik dengan kehidupan masyarakat desa agraris.
``Ketara sekali pengarang membicarakan pengalaman budaya seorang kanak-kanak bernama Hidayah dalam kehidupan keluarga yang serba payah, miskin tetapi gigih, yakin diri, bermaruah dan mengutamakan kesopanan serta nilai-nilai murni,'' katanya.
Menurut Othman, kekuatan novel ini ialah kemampuan pengarangnya mengetengahkan unsur protagonis Hidayah itu sendiri sebagai gadis cilik yang pintar, penyayang dan disenangi oleh semua orang.
Beliau berpendapat, kesemua pengalaman waktu kecilnya diolah dengan dengan baik sehingga menjadi sebuah jalan cerita yang berkesan. Keberkesanan menggarap cerita ini dapat menyampaikan mesej sebenar dalam novel ini secara berkesan.
Bagi Imlan Adabi, kumpulan puisi Tamtama karya Anjan pula merupakan percubaan penulis muda ini untuk bergelumang dengan bahasa dan kematangan kata dalam dunia puisi.
Menurutnya, puisi-puisi karya penulis kelahiran Kelantan ini adalah pengembaraan kehidupan yang tiada penamatnya seperti disiplin yang tidak habis diterokai sehingga setiap kejadian adalah menjadi tema puisinya.
``Sebahagian puisinya mempunyai renungan dan falsafah yang menarik. Disiplin ilmu yang ditimba secara terancang telah mematangkan kepengarangannya. Ternyata Anjan memanfaatkan pengalaman kehidupannya dengan berkesan,'' tegasnya.
Imlan berpendapat, dalam beberapa puisi, Anjan cuba berfalsafah tentang alam seperti makna sungai yang sentiasa mengalir ke muara sebagai perjalanan hidup dan sisa pengalaman yang paling berharga.
Pada sisi lain, beliau mentafsir penulis muda ini agak langsung membicarakan sesuatu isu tanpa melihat lapisan makna kedua seperti kebanyakan karya-karya penyair realis tempatan, terutamanya Zahari Hasib dan Leo AWS.
Sementara itu, kumpulan puisi Usrah Perjalanan karya Khairul Bariah pula menurut Siti Zainon banyak dipengaruhi oleh nilai-nilai keislaman yang kuat sehingga karya ini terlihat sebagai percubaan menerobos sastera sufi.
``Namun, jika diteliti, penulis ini belum mampu menerobos ke unsur Islamiah. Bagaimanapun, ia tetap membuktikan Khairul Bariah mempunyai kesedaran untuk mencari nilai-nilai peribadi dengan landasan murni,'' katanya.
Beliau berpendapat, penulis ini wajar menimpa lebih banyak pengalaman dan pembacaan dalam usaha memantapkan lagi karyanya sebagaimana penyair besar lain.
Kesimpulan dari perbincangan ini dapatlah dikatakan bahawa kehadiran penulis muda ini akan dapat mengisi kekosongan genre puisi dan novel sekiranya mereka konsisten berkarya. Kehadiran mereka yang berani menyuarakan pendapat melalui sastera dianggap potensi paling besar untuk menjadi aset negara.
Tuesday, February 01, 2005
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment