Monday, February 21, 2005

Naratif Ogonshoto ‘seiras’ Sejarah Melayu

Naratif Ogonshoto ‘seiras’ Sejarah Melayu
Oleh Shaidah Shafie
Berita Harian 22 FEB 2005

PERTUKANGAN Naratif Ogonshoto (NO) diklasifikasikan sebagai halus, sarat perlambangan, mempamerkan akal budi dan ketinggian bahasa Melayu lama sekali gus mengingatkan khalayak kepada ‘Sejarah Melayu’ yang dibawakan Tun Sri Lanang (TSL).



Rumusan ini dibuat Pensyarah Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya (UM), Mohamad Saleeh Rahamad, pada ‘Bicara Tokoh Pena: Diskusi Naratif Ogonshoto’ di Akademi Pengajian Melayu (APM), UM, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

“TSL dalam ‘Sejarah Melayu’ mengemukakan kritikan terhadap Raja pada masa itu tetapi lantaran kebijaksanaan TSL yang juga Bendahara menangani bahasa dan ayatnya sehingga tidak dipanggil pemerintah serta terlepas daripada sebarang hukuman,” katanya.

Ketinggian daya kreativiti TSL dikatakan terpercik pada NO dan keistimewaan yang dipamerkan Datuk Dr Anwar Ridhwan selaku pengarang NO jarang ditemui pada pengarang lain.

“Walaupun ada ramai pengarang lain tetapi kepandaian mengolah idea dalam bentuk yang penuh seni jarang ditemui selain peneliti sukar melabelkan NO sebagai genre novel atau cerpen kerana NO memenuhi kedua-dua kriteria terbabit,” katanya.

Bagaimanapun jika peraturan Standard Data Pengkatalogan Antarabangsa (ISBN) dijadikan sebagai rujukan dalam hal pengkategorian, maka NO tertakluk kepada cerita pendek dan diletakkan di bawah kategori cerpen.

NO sama seperti ‘Sejarah Melayu’, mencakupi beberapa bab dan boleh berdiri sendiri tetapi apabila digabungkan serta keseluruhan teks dibaca, ia muncul sebagai karya yang mempunyai maksud tertentu.

Selain itu, NO juga dianggap teks pasca kolonial kerana Dr Anwar mempelbagaikan teknik penulisan, tidak bergantung sepenuhnya kepada sastera moden dan kembali kepada tradisi dengan memasukkan unsur mitos, legenda di samping mengangkat tradisi pribumi.

Pensyarah Pusat Pengajian Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu (PPBKKM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Mawar Shafei, berkata NO mengetengahkan persoalan politik, mempamerkan struktur cerita berbingkai dan ciri sastera tradisional.

“Tema NO pernah diterapkan dalam teks awal Dr Anwar. Struktur naratifnya pula cenderung kepada teks tradisional. Ada unsur lencongan oleh pengarangnya dalam NO. Membaca NO seolah-olah kita menziarah kembali karya awal Dr Anwar,” katanya.

Mawar mentakrifkan NO sebagai hiperteks manakala teks awal Dr Anwar sebagai hipoteks dan kedua-dua teks itu saling berkait selain beliau memperkembangkan hipoteks kepada hiperteks dengan pembaikian dan menukanginya dengan cemerlang.

“Secara zahir seperti wujud tradisi dalam kepengarangan Dr Anwar. Konsep lipur lara dalam novel sulungnya, ‘Hari-hari Terakhir Seorang Seniman’, yang mengangkat Pak Hassan sebagai penglipur lara turut dipindahkan ke dalam ‘Di Negeri Belalang’ dan NO,” katanya.

Seperti Saleeh, Mawar bersetuju mengenai persamaan bentuk ’Sejarah Melayu’ dengan NO dan menampilkan contoh Dr Anwar memulakan penceritaan watak pemimpin dan latar pembukaan negeri, dalam bab pertama NO, ‘Kolonial’.

“Proses transformasi kepengarangan Dr Anwar melalui teks terkini beliau jelas. Lima konsep kampung halaman yang positif yang diungkap Dr Anwar dalam NO, dapat dikesan dalam karya terdahulunya, ‘Jatidiri Pasca Asas 50’,” katanya.

Lima konsep itu ialah kehidupan berpaksi dan berputar pada agama dan budaya turun temurun; kebijaksanaan individu, keluarga dan masyarakat untuk memainkan peranan dan menghormati hak masing-masing; alam tabii dimanfaatkan dengan cermat, dipelihara dan dibangunkan untuk generasi akan datang; kehormatan adalah hak yang wajib dipertahankan serta golongan berada ada tanggungjawab terhadap yang kurang berada.

Mawar turut mengakui NO memperlihatkan keampuhan akar budaya dan bangsa pengarangnya, memperlihatkan kecenderungannya mengangkat isu politik secara intertekstual dari teksnya, ‘Di Negeri Belalang’ dan teks pengarang lain, ‘The Prince-Niccolo Machiavel’.

Serentak itu, Dr Anwar Ridhwan juga diakui memperlihatkan kesinambungannya mengarang karya yang menambah nilai terhadap soal kemanusiaan, kebenaran, hak serta keadilan.

----

Besok aku kan berangkat ke Kuala Lumpur untuk ke program Temu Penulis Kampus.

1 comment:

Nurhidayati Abd Aziz said...

Baru sahaja beli, tapi versi Inggeris; Tales of Ogonshoto. Kerana cuti yang masih panjang, saya letak ia dalam senarai "buku yang mesti dinikmati perlahan-lahan kemudian."

Harapnya keseronokan seni dan tulisnya dapat saya serap nanti.